Wednesday, November 28, 2012

49 Day's





49 Day's mengisahkan tentang Shin Ji Hyun yang mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan rohnya terpelanting keluar dari jasadnya. Shin Ji Hyun bertemu dengan lelaki yang mengaku dirinya scheduler iaitu pengiring roh orang mati naik ke atas langit. Scheduler itu menerangkan Shin Ji Hyun berpeluang kembali ke jasadnya sekiranya mendapat 3 titis airmata dari orang-orang yang menangis kerana betul-betul menyayanginya. Shin Ji Hyun berasa gembira kerana dia yakin dia mempunyai kawan-kawan yang menyayanginya. Shin Ji Hyun diberi masa selama 49 hari untuk menjayakan misinya itu. 

Dia dibenarkan menggunakan jasad Song Yi Kyung iaitu seorang gadis yang tiada kehidupan sosial. Bekerja di malam hari dan tidur pada siang hari. Jadi, Shin Ji Hyun menggunakan tubuh Song Yi Kyung apabila dia tidur.


Shin Ji Hyun tidak boleh menggunakan wang yang ada pada Song Yi Kyung untuk kegunaan dirinya. Dia harus kerja untuk mendapatkan wang untuk menyara dirinya. Dia tidak tahu mahu menuju pada siapa. Dia teringatkan kawan lelakinya  Han Kang yang memiliki sebuah restoran . Dia berjumpa Han Kang dan nasibnya baik dia diterima bekerja di situ. 

Dalam usahanya mencari 3 titis airmata itu lah dia mendapat tahu yang tunangnya Kang Min Ho ada hubungan cinta bersama kawan baik dia Shin In Jung. Pada masa itulah Shin Ji Hyun teringat kejadian sebelum dia ditimpa kemalangan. Dia melihat Shin In Jung dan tunangannya Kang Min Ho di dalam kereta begitu mesra sekali. Shin Ji Hyun mengekori kereta mereka sebelum terjadinya kemalangan itu. Shin Ji Hyun berasa sungguh sedih.

Shin Ji Hyun berasa putus asa kerana dia merasakan dirinya tidak akan dapat mencari 3 titis airmata itu sebelum tamatnya 49 hari. 3 hari berlalu begitu saja sehinggalah Scheduler datang mengugutnya untuk mengeluarkan elevigator. Shin Ji Hyun berasa takut dan berjanji akan berusaha lagi mencari 3 titis air mata seperti yang dijanjikan.

Shin Ji Hyun terdengar perbualan di antara Kang Min Ho dan Shin In Jung. Dia pasti mereka ada agenda jahat. Shin Ji Hyun terkejut apabila mendapat tahu yang Kang Min Ho dan Shin In Jung mempunyai niat untuk menjatuhkan syarikat milik ayahnya. Kang Min Ho meminta Shin In Jung mencari cop milik Shin Ji Hyun untuk menukar hal milik tanah milik Shin Ji Hyun. 

Shin Ji Hyun bertindak mencari cop miliknya dan berjaya menemukannya. Dia menyimpan cop itu di dalam pasu di bilik Han Kang tanpa pengetahuan Han Kang. Shin Ji Hyun tidak boleh mendedahkan identitinya kepada sesiapa pun kerana loket airmata itu akan meletup dan peluangnya untuk hidup akan hilang.

Di saat Shin Ji Hyun sudah kehilangan semangat untuk mencari 3 titis airmata tiba-tiba loketnya bercahaya kerana terdapat setitis airmata didalamnya. Dia kehairanan dalam kegembiran. Dia begitu yakin yang airmata itu adalah dari seoranag lagi kawan baiknya Seo Woo tetapi sebenarnya ia adalah airmata Han Kang setelah Han Kang menjumpai cop milik Shin Ji Hyun. Secara tidak langsung dia mengetahui yang di dalam Song Yi Kyung itu adalah Shin Ji Hyun. 

Han Kang mengambil keputusan untuk membantu Shin Ji Hyun walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya yang dicari oleh Shin Ji Hyun untuk membolehkan ia kembali pada jasadnya. Dalam pada masa yang sama Han Kang membantu ayah Shin Ji Hyun apabila Kang Min Ho memulakan strateginya untuk menjatuhkan syarikat ayah Shin Ji Hyun.

Shin Ji Hyun memanggil semua kawan-kawannya dalam usaha mencari 3 titis airmata. Semuanya hanya bersedih dan hanya mempertikaikan tentang orang-orang yang rapat dengan Shin Ji Hyun sahaja. Dia berasa sedih kerana begitu rupanya pandangan kawan-kawannya kepadanya selama ini. 

Scheduler selalu mengingatkan Shin Ji Hyun agar berhati-hati supaya Song Yi Kyung tidak mengetahui yang jasadnya digunakan pada siang hari tetapi akhirnya Song Yi Kyung tahu jugak kerana dia berasa pelik akan perubahan-perubahan yang terjadi pada dirinya dan keadaan rumahnya. Tambahan pula dia melakukan terapi di hospital seorang lelaki yang menyelamatkannya dulu. Kebetulan lelaki itu adalah seorang doktor. Di dalam terapinya dia melihat dirinya tetapi bukan dirinya yang melakukan perkara-perkara yang dilakukannya. Dan semasa dia mahu membunuh diri di rumahnya, dia melihat ada seorang perempuan yang menjerit kepadanya walhal semasa kejadian itu dia hanya seorang diri di rumahnya itu. Itu yang membuat dirinya takut berada di dalam rumahnya.

Keadaan semakin rumit apabila Song Yi Kyung dapat melihat Shin Ji Hyun dan menghalaunya keluar dari rumahnya. Bila Shin Ji Hyun keluar dari rumah, Song Yi Kyung terus berlari menaiki teksi dan menuju ke stesen keretapi. Dia mahu pergi ke tempat yang di beritahu oleh Kang Min Ho.

Han Kang yang mengetahui akan kejadian itu terus mengejar Song Yi Kyung. Shin Ji Hyun pula di hantar oleh Scheduler ke stesen keretapi. Scheduler meminta Shin Ji Hyun membawa pulang Song Yi Kyung semula.

Han Kang yang menjumpai Song Yi Kyung telah merayu supaya Song Yi Kyung pulang semula. Shin Ji Hyun juga merayu kepadanya. Pada mulanya Song Yi Kyung tidak mahu tetapi bila melihat kesungguhan Han Kang dan Shin Ji Hyun akhirnya dia bersetuju. Song Yi Kyung berasa sedih dan memahami perasaan Shin Ji Hyun.

Song Yi Kyung balik semula ke rumahnya. Kali ini dia tidak berasa takut berteman dengan Shin Ji Hyun. Mereka berbual bersama. Shin Ji Hyun memberitahu Song Yi Kyung yang orang yang sangat di rinduinya akan datang bertemu dengannya tetapi belum masanya. Song Yi Kyung harus menunggu sedikit masa lagi. Dan apabila Shin Ji Hyun memberitahu yang gambar yang di tunjukkan oleh Song Yi Kyung kepada kekasihnya Song Yi Soo adalah satu fitnah. Song Yi Soo tidak tahu menahu mengenai gambar itu.

Bila genap 49 hari, Shin Ji Hyun masih gagal mendapatkan 2 titis airmata lagi untuk melengkapkan misinya. Shin Ji Hyun redha akan takdir dirinya. Dia meminta scheduler mengeluarkan elevigator. Scheduler bersetuju dan mereka menuju ke suatu tempat di mana hanya orang-orang yang sudah mati sahaja yang boleh sampai ke situ.

Sementara itu di hospital, doktor yang merawat Shin Ji Hyun memberitahu ibu bapa Shin Ji Hyun yang Shin Ji Hyun tidak akan sedar lagi. Pihak hospital mahu menanggalkan alat bantuan pernafasan yang dipasang pada Shin Ji Hyun. Ibu dan ayahnya berasa sedih dan menangis semahunya. Kawannya Seo Woo jugak menangis kesedihan kerana akan kehilangan seorang kawan baik.

Semasa scheduler mahu mengeluarkan elevigator tiba-tiba terdengar titisan airmata di loket Shin Ji Hyun. Lengkaplah 3 titis semuanya. Dan Shin Ji Hyun hilang dari pandangan Scheduler.

Sedang ibu Shin Ji Hyun mendakapnya erat dalam tangisan, ayah Shin Ji Hyun melihat Shin Ji Hyun membuka mata. Bagai tak percaya Shin Ji Hyun sedar semula. Han Kang diberitahu oleh ibu Shin Ji Hyun yang Shin Ji Hyun telah sedar semula dan Han Kang bergegas ke hospital.

Di hospital, Han Kang bertemu dengan Shin Ji Hyun tetapi Shin Ji Hyun bagai tidak mengendahkannya. Dia seperti tidak memperingati akan kejadian 49 hari bersama Han Kang. Shin Ji Hyun bertanyakan kawannya Shin In Jung dan tunangannya Kang Min Ho.

Han Kang berjumpa dengan Song Yi Kyung untuk mengucapkan terima kasih kerana membantu Shin Ji Hyun selama 49 hari dulu tetapi dia meminta maaf kerana Shin Ji Hyun tidak akan mengenali Song Yi Kyung kerana Shin Ji Hyun tidak mengingati kejadian 49 hari itu. Han Kang mempelawa Song Yi Kyung bekerja dengannya kerana disebabkan Shin Ji Hyun, Song Yi Kyung berhenti kerja di coffee shop tetapi Song Yi Kyung menolaknya kerana dia mahu menanti kehadiran seseorang yang dinanti selama 5 tahun.

Semasa Song Yi Kyung melihat kad-kad lama dalam simpanannya tiba-tiba dia terpandang sekeping kad dari kekasihnya Song Yi Soo. Song Yi Soo ingin bertemu dengannya. Song Yi Kyung berasa gembira. Mereka bertemu setelah 5 tahun terpisah. Song Yi Soo telah mati dalam kemalangan 5 tahun yang lepas dan disebabkan itu Song Yi Kyung putus harapan untuk meneruskan kehidupanya. Berbagai-bagai cara di lakukan untuk membunuh dirinya tetapi rancangannya sentiasa gagal. Dan kemalangan yang menimpa Shin Ji Hyun dulu adalah disebabkan dirinya mahu membunuh diri tetapi diselamatkan oleh doktor lelaki yang lalu di situ.

Song Yi Soo meminta Song Yi Kyung melepaskan dirinya dari ikatan perasaan cinta Song Yi Kyung demi kebahagiaannya di kelahiran semula nanti. Pada mulanya Song Yi Kyung tidak mahu tetapi setelah di desak oleh Song Yi Soo akhirnya Song Yi Kyung akur dan berjanji akan meneruskan kehidupannya dengan lebih baik dan bermakna.

Song Yi Kyung pergi ke hospital untuk melihat Shin Ji Hyun tetapi apabila teringat akan kata-kata Han Kang yang Shin Ji Hyun tidak mengenalinya, dia membatalkan hasratnya itu. Di saat Song Yi Kyung mahu berlalu Shin Ji Hyun membuka pintu untuk keluar dan dia terpandang belakang badan Song Yi Kyung. Shin Ji Hyun terus memanggilnya dan memeluknya.

Shin Ji Hyun menerangkan kepadanya yang dia tidak lupa pada kejadian 49 hari itu tetapi dia tidak sanggup melihat Han Kang terluka lagi selepas ini kerana dia akan mati jugak 6 hari dari hari dia sedar. Dia tidak mahu Han Kang berasa sedih sangat bila dia mati kelak. Tetapi dia tak sanggup nak berbohong dengan Song Yi Kyung yang telah banyak membantunya dulu. Dia meminta Song Yi Kyung merahsiakannya dari pengetahuan Han Kang.

Shin Ji Hyun keluar berkelah bersama Han Kang. Dia mahu melakukan aktiviti yang biasa dilakukan oleh pasangan bercinta yang lain. Berkelah sambil makan kimbap dan mendengar muzik dari mp3 sambil menikmati pemandangan tasik yang cantik. Sebenarnya Han Kang telah diberitahu oleh Song Yi Kyung akan rahsia Shin Ji Hyun. Dan meminta Han Kang berkerjasama dengan permintaan Shin Ji Hyun itu demi ketenangan Shin Ji Hyun.

Setelah Shin Ji Hyun kembali ke hospital, dia memberitahu ibu dan ayahnya yang dia bangga memiliki ibu dan ayah yang baik seperti mereka. Sedang mereka bergelak ketawa tiba-tiba Shin Ji Hyun jatuh dan terus tidak sedarkan diri. Rohnya keluar dari badannya dan scheduler telah menantinya untuk membawanya ke elevigator yang akan membawanya pergi. Shin Ji Hyun tenang mengikutnya.

Doktor mengesahkan yang Shin Ji Hyun meninggal akibat kerosakan sistem dalam perutnya yang biasa berlaku akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya dulu. Ibu dan ayah Shin Ji Hyun menangis kesedihan kerana benar-benar kehilangan anak mereka kali ini.

Semasa Shin Ji Hyun mahu memasuki elevigator, dia sempat bertanya kepada scheduler tentang airmata yang diterimanya dulu. Scheduler memberitahunya yang airmata itu adalah milik Han Kang, Seo woo dan Shin In Jung yang telah menyesali perbuatan jahatnya bersama Kang Min Ho. Shin Ji Hyun berasa gembira apabila mengetahui akan perkara tersebut. Apatah lagi dia sangkakan airmata dari Song Yi Kyung itu adalah sebenarnya dari Shin In Jung.

Selesai upacara pengkebumian Shin Ji Hyun, ibu Shin Ji Hyun kerap melihat album lama dan Han Kang terpandang gambar beg berwarna pink milik kakak Shin Ji Hyun yang terpisah semasa mereka kecil dulu. Han Kang berasa curiga dan membawa ibu Shin Ji Hyun berjumpa dengan Song Yi Kyung. Setelah melihat barang-barang milik Song Yi Kyung semasa kecil yakin lah ibu Shin Ji Hyun yang Song Yi Kyung adalah anaknya yang terpisah dulu. Patut lah airmata Song Yi Kyung tidak dikira kerana Song Yi Kyung adalah kakak Shin Ji Hyun.


Song Yi Kyung kini berkerja di Heaven iaitu restoran milik Han Kang dan mereka telah berkawan baik seperti yang disarankan oleh Shin Ji Hyun secara senyap-senyap. Mereka berdua berasa bertuah kerana dapat mengenali 2 insan yang sangat baik dan menyayangi mereka.     



Para Pelakon :
Lee Yo Won Sebagai Song Yi Kyung
Nam Gyu Ri sebagai Shin Ji Hyun
Jo Hyun Jae sebagai Han Kang
Bae Soo Bin sebagai Kang Min Ho
Jung II Woo sebagai Scheduler / Song Yi Soo
Seo Ji Hye sebagai Shin In Jung

* Best giler cite ni .. aku tengok 2 .. 3 ... kali pun tak jemu .. seronok tengok lakonan yang menjadi dari para pelakonnya ... best sangat .. jalan cerita pun menarik .. cite pasal roh yang mencari airmata untuk kembali ke jasadnya .. bukan cerita seram tau .. ni cerita tak seram langsung walaupun melibatkan roh ... hehe .. ni lebih kepada kisah cinta dan perjuangan untuk meneruskan kehidupan ... best and the best ... tak caya ce tengok  sendiri ... hehe ...

No comments: